Perkahwinan Masyarakat Sabah & Sarawak

Perkahwinan Suku Kaum Iban

Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan.
Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, apabila anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu.


Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkhawinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang,majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan.

a) Merisik

Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah pemberian dan sebagainya. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan.

b) Meminang dan bertunang

Rombongan pihak lelaki biasanya tidak kurang daripada lima orang dan paling ramai dua puluh orang yang terdiri daripada orang-orang tua. Pada masa itu syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan termasuklah berian atau mas kahwin serta lain-lain yang berkaitan. Setelah mencapai kata sepakat, ayah pihak lelaki menanggalkan lapit atau ikat pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Seterusnya kedua belah pihak akan berbincangtentang tarikh dan hari perkahwinan. Mulai saat itu, perempuan itu tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna selain tunangnya. Dua atau tiga hari kemudian wakil pihak lelaki akan memaklumkan berita pertunangan tersebut kepada saudara-mara dan jiran tetangga.

c) Majlis Perkahwinan

Pelbagai persiapan akan dibuat untuk majlis perkahwinan yang bakal tiba. Bagi pihak keluarga lelaki mereka akan menyediakan perbelanjaan serta barang yang harus diberikan kepada keluarga perempuan. Keluarga perempuan juga membuat pelbagai persiapan termasuk memburu binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan.

Untuk mengundang tetamu, kedua-dua pihak melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan kahwin. Wakil itu membawa beberapa utas tali bersimpul yang menunjukkan berapa hari lagi perkahwinan dilangsungkan. Sekiranya tali itu mempunyai 5 simpulan, bermakna perkahwinan itu akan berlangsung dalam masa 5 hari lagi. Wakil khas akan meninggalkan tali bersimpul itu kepada tuai rumah atau ketua rumah panjang yang bertanggungjawab membuka simpulan tali itu setiap hari. Majlis perkahwinan berlangsung di rumah pengantin perempuan, beratus-ratus orang tetamu yang akan dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

Pada masa dahulu, para wakil akan membawa tali bersimpul (temukutali), satu simpulan menandakan satu hari di antara hari pengataran jemputan dengan hari perayaan. Setiap simpulan dibuka atau dipotong untuk setiap hariyang berlalu. Semasa rombongan pengantin lelaki hampir sampai di rumah pengantin perempuan, satu upacara diadakan iaitu upacara bertanyakan petanda (Nanyaka Burong). Rombongan pengantin lelaki ini akan ditemukan dengan wakil pengantin perempuan . Kedua-dua rombongan tersebut berjumpa di pekarangan rumah panjang. Rombongan lelaki akan ditanya jenis petanda yang mereka temui semasa dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan.

Sekiranya terdapat petanda buruk ditemui upacara penawar mesti dilakukan dan selepas upacara penawar dilakukan rombongan tersebut barulah boleh naik dengan diiringi dengan bunyi pukulan gong dan di kaki tangga, ayah pengantin lelaki akan mengorbankan seekor babi sembahan. Di atas tangga yang teratas sekali terdapatnya dulang yang berisi seketul batu dan air iaitu merupakan penawar  petanda burung dan tangal (sakang). Di mana setiap ahli rombongan yang naik akan membasuh kaki mereka dengan memasukkan sebelah kaki mereka kedalam dulang tersebut.

Selain itu, pada hari perkahwinan, rombongan lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi kain pua kumbu sekiranya pengantin melalui jalan sungai . Jika tidak, pengantin akan berjalan kaki mengikut jalan darat. Di sepanjang jalan, rombongan yang berpakaian menarik itu akan memukul gong. Sebaik sahaja sampai di hadapanrumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Kemudian mereka mandi beramai-ramai di sungai sebelum memakai pakaian tradisional.

Sampai di tangga rumah panjang, kepala rombongan pengantin lelaki dipelawa menyembelih seekor babi sebagai penghormatan dan pada masa itu juga tembakan senapang akan kedengaran secara balas-membalas. Di kepala tanggar umah itu pula, terdapat rangka yang berbentuk seperti kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka tiga buah kota iaitu di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah.

Setelah itu, rombongan pihak lelaki di kalangan kaum wanita akan masuk ke bilik pengantin perempuan, manakala yang lelaki duduk di ruai.Mengikut adat tetamu perempuan hanya dapat masuk ke dalam bilik pengantin perempuan dengan menggunakan bahasa berirama untuk membuka pintu bilik yang dipalang dengan lembing dan ditutup oleh pua kumbu.

Para tetamu seterusnya akan dijamu dengan sejenis arak iaitu tuak dan pelbagai jenis air seperti air haus, air dahaga dan air untung. Sambil itu mereka akan bergurau senda dan beramai-ramai menyanyikan lagu dan memukul gendang. Mereka juga akan berpusing di rumah selama tiga kali. Sesudah itu air minuman akan dihantar kepada setiap tetamu dan ini dinamakan air penyuci.

Sekiranya perkahwinan berlangsung pada waktu siang, selepas makan tengahari barulah kedua-dua pihak berbincang tentang perihal pengantin dan susur galur mereka. Sekiranya dilangsungkan pada waktu malam, perbincangan dilakukan selepas tengah malam. Mereka akan berbincang dan golongan yang tertua akan melakarkan hubungan antara pengantin lelaki dan perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Sebelum perbincangan diadakan, tuai rumah sekali lagi akan menghidangkan minuman keras yang dipanggil air perangsang kepada para tetamu.

 
Setelah mengetahui hubungkait kekeluargaan, denda akan dikenakan kepada mereka. Selepas itu barulah ibu bapa pengantin perempuan meminta pemberian. Terdapat nilai pemberian yang telah ditetapkan di kalangan masyarakat Iban. Pihak perempuan juga meminta bayaran memecah tangga iaitu sebilah beliung, bayaran pembuka pintu iaitu sebatang lembing, bayaran pembuka kelambu iaitu sebilah pedang dan pemberian kecil yang lain. Pihak lelaki pula meminta pencuci kaki , sebuah tempayan, sepasang tempat menggantung gong, penolak haluan iaitu sebatang sumpitan, kajang perahu iaitu sehelai kain pua kumbu dan beberapa pemberian kecil lagi.

Selepas menjelaskan segala pemberian, mereka menetapkan pula syarat berhubung dengan pemberian sekiranya berlaku perceraian. Permintaan tersebut akan hilang setelah berlakunya perceraian yang tidak nyata. Sekiranya perceraian disebabkan oleh pihak lelaki, si suami wajib membayar  balik berian yang diterimanya dahulu dan tambahan sebanyak RM50 sebagai denda. Sekiranya berlaku percubaan untuk mencemarkan nama mana-mana pihak, pihak yang bertanggungjawab akan dikenakan denda yang lain. Seterusnya, upacara membelah pinang dilakukan iaitu buah pinangtersebut telah dibelah kepada tiga, lima atau tujuh ulas. Kemudian buah pinang tersebut akan disimpan di dalam bakul selok dan diselimuti dengan Pua Kumbu. Buah pinang tersebut adalah merupakan gambaran cahayamata pasangan pengantin tersebut. Selain itu, upacara membelah pinang atau mengulang pinang turut dijalankan yang mana, pecahan pinang itu akan menentukan tempoh masa pengantin perempuan wajib tinggal di rumah suaminya. Kemudian seorang lemambang atau bomoh akan mengadakan upacara menidurkan anak dan mengejutkan anak itu semula dengan beberapa rangkap pantun. Seterusnya pinang tersebut akan diagihkan kepada tetamu dan diberi sarapan pagi.

Upacara perkahwinan telah dianggap tamat dengan menjalankan adat ini sekiranya tiada kesalahan adat yang dilakukan oleh kedua belah pihak. Jika tidak pengantin baru akan mandi di sungai untuk membersihkan diri. Untuk adat ini juga mereka perlu memegang sehelai kain yang panjangnya tujuh ela supaya  kesalahan semasa perkahwinan itu akan hilang pada setiap individu. Selepas mandi, mereka menyembelih seekor babi sebagai korban dan juga sebagai penebus dosa pengantin.

Setelah menyucikan diri, pasangan pengantin akan memakai pakaian masing-masing untuk pergi ke rumah pengantin lelaki pula. Di sepanjang jalan, rombongan perlu kelihatan gembira kerana segala kesalahan telah dihapuskan. Seterusnya sambutan yang meriah diadakan pula di rumah pengantin lelaki. Pada sebelah malamnya, kedua pengantin diiringi oleh pengapit masing-masing dan akan disandingkan di atas gong atau kerusi yang dialas kain tenun. Adat ini juga boleh disamakan dengan adat bersanding dalam kalangan masyarakat Melayu.

Kemudian beberapa orang tua dijemput untuk berdoa iaitu dengan mengunakan ayam untuk membiau mereka berdua, yang bertujuan untuk memohon agar dewa memberkati mereka berdua. Pasangan ini akan disaksikan oleh hadirin di rumah panjang tersebut. Seterusnya seseorang yang dipanggil tukang ganyang akan memulakan upacara. Ayam yang telah diikat kakinya kemudian dilepaskan dan mentera pun dibaca. Ayam yang telah disembelih itu akan diambil darahnya untuk disemah kepada pengantin. Istiadat ini akan diakhiri dengan jamuan makan dan minum. Selepas mengadakan majlis di rumah pengantin lelaki, sekali lagi majlis diadakan di rumah pengantin perempuan. Sungguhpun mereka telah sah sebagai pasangan suami isteri, mereka tidak boleh tidur bersama. Si suami masih tidur di ruai iaitu di bilik tetamu. Sebarang bunyi-bunyian yang didengar sepanjang berada di situ akan mempunyai maksud yang tersendiri sama ada baik atau sebaliknya. Ada pasangan yang terpaksa dipisahkan buat sementara waktu kerana mendapat petanda buruk.


Perkahwinan Suku Kaum Bajau


Dalam melakukan majlis perkahwinan, masyarakat Bajau berpegang kepada pantang larang kaumnya. Penetapan hari perkahwinan perlulah dielakkan daripada hari Rabu dan Ahad. Ini kerana kedua-dua hari ini dianggap kurang bak untuk upacara tersebut. Jika ada yang melanggar pantang ini, pengantin akan jatuh sakit dan tidak akan mendapat rezeki yang baik. Pada kebiasaannya, mereka akan memilih hari ke-14 atau 15 mengikut kalendar Islam, kerana dipercayai ketika itu cahaya bulan terang dan rezeki pengantin baru itu akan menjadi murah.

Bagi kaum Bajau mereka lebih mempercayai perkahwinan yang bersifat monogami daripada poligami. Dalam perkahwinan Bajau, kebanyakan perkahwinan berlaku antara kaum kerabat (saudara-mara) mereka sendiri. Hal ini kerana mereka amat percaya bahawa perkahwinan sesama kaum kerabat sendiri lebih menjamin perkembangan zuriat mereka.

Perkahwinan Bajau tidak pernah melarang perkahwinan dengan orang luar dari kerabat mereka, namun mereka lebih cenderung untuk berkahwin dengan kaum kerabat (yang jauh) sendiri. Pun begitu, mereka tidak boleh mengahwini mereka yang mempunyai ikatan akrab atau muhrim. Jika perkahwinan berlaku dengan muhrim sendiri, maka perkahwinan itu dianggap sumbang dan panas serta akan mendatangkan sial.

Masyarakat Bajau amat teliti dengan perlaksanaan sesuatu majlis perkahwinan. Mereka percaya bahawa perkahwinan tidak boleh dilakukan dengan sambil lewa, sebaliknya dilaksanakan dengan tuntutan adat dan agama. Suatu ketika dahulu, majlis perkahwinan Bajau berlangsung selama satu hari, satu malam.  Sebaliknya pada ketika ini, majlis berlangsung selama 2 hari 1 malam.

Pada hari pertama, majlis disambut meriah pada waktu petang dan malam. Sambutan ini disambut secara maglami-lami (beramai-ramai). Dalam majlis ini, kaum kerabat dan tetamu akan berkumpul untuk menjamu selera (bagi memperingati nenek moyang mereka yang telah meninggal dunia) dan menyaksikan beberapa jenis hiburan yang disediakan oleh pihak pengantin perempuan. Dalam jamuan memperingati nenek moyang, mereka akan berzikir bersama tetamu yang lain dan biasanya nasi kunyit bersama lauknya dan kuih panyam disediakan.

Pada hari kedua pula, upacara dimulakan dengan pukulan titik diallau, iaitu pukulan tagungguk khas. Biasanya pukulan itu dibuat pada pukul 5 pagi (sebelum subuh), bagi mengingatkan penduduk setempat, akan majlis perkahwinan mereka.

Setelah bersarapan lebih kurang pada pukul 8 pagi, kedua-dua pengantin akan dimandikan oleh ahli-ahli agama di rumah masing-masing diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci sebagai doa selamat bagi mereka. Setelah dimandikan pengantin lelaki akan diarak dengan menaiki kuda ke rumah pengantin perempuan atau ke masjid untuk majlis akad nikah. Setelah itu pengantin lelaki akan didukung oleh dua orang lelaki masuk ke dalam rumah pengantin perempuan atau masjid, di mana akan berlangsungnya majlis akad nikah. Proses akad nikah yang dilakukan oleh kaum Bajau adalah sama seperti adat perkahwinan Melayu, iaitu sebelum dinikahkan imam akan membacakan khutbah nikah.

Setelah selesai upacara pernikahan, pengantin lelaki akan diberikan sehelai kain selendang dan dipimpin oleh pengapitnya ke pelamin. Dalam tempoh itu, pengantin lelaki diiringi oleh pukulan tagungguk dan nyanyian jam-jam. Apabila rombongan pihak lelaki semakin hampir, pihak perempuan akan menurunkan tirai di hadapan pelamin untuk melindungi pengantin perempuan daripada penglihatan pengantin lelaki.

Beberapa syarat dikenakan kepada pengantin lelaki jika ingin melihat pengantin perempuan di sebalik tirai itu. Jika pihak pengantin perempuan menutup pintu, maka pihak pengantin lelaki perlulah membayar wang tebus pintu atau dipanggil kaukaban lawang. Biasanya pengantin perempuan akan duduk dipelamin dan menunggu suaminya di sebalik tiga lapis tirai. Tirai itu perlulah dibuka selapis demi selapis dan setiap tirai hanya akan dibuka sebaik sahaja pengantin lelaki membayar wang tebus sebanyak mana yang difikirkan patut.

Setelah tirai yang terakhir dibuka, pengantin lelaki perlulah memutarkan kain selendang yang diberikan kepadanya selepas majlis akad nikah tadi, sebanyak tiga pusingan di atas kepala pengantin perempuan. Kemudian, pengantin lelaki tadi perlulah menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jari tangan kanannya. Proses ini dikenali sebagai tutukan yang sama seperti proses membatalkan air sembahyang dalam perkahwinan Melayu.

Selepas majlis persandingan, pengantin lelaki akan terus tinggal di rumah pengantin perempuan selama tiga malam. Dalam tempoh itu, ahli-ahli agama akan bergilir-gilir memberikan nasihat tentang rukun berumahtangga, persefahaman suami isteri dan lain-lain nasihat yang dirasakan perlu. Setelah tiga malam ibu bapa pengantin lelaki akan datang dan meminta izin dari besannya untuk menjemput pasangan pengantin baru itu berpindah ke rumah mereka. Perpindahan itu dikenali sebagai tingkuang. Pasangan pengantin baru itu kemudiannya boleh terus tinggal di rumah pengantin lelaki buat selama-lamanya, jika mereka mahu.




Perkahwinan Masyarakat Murut

Perkahwinan orang Murut adalah seawal umur 15 hingga 18 tahun bagi si teruna dan 13 tahun bagi si gadis. Mas kahwin yang biasa dipohon oleh ibu bapa si gadis orang Murut adalah 2 ekor kerbau, 1 tajau sejenis “tilauan, 1 tajau jenis minukul, 1 tajau jenis belaying, 1 tajau jenis “manila 1 buah gong dan 1 sumpitan. Istiadat perkahwinan akan dijalankan selama lima hari berturut-turut, 3 hari di rumah pihak perempuan dan 2 hari di rumah pihak lelaki. Dalam masa 3 hari tetamu akan bersukaria sambil makan dan meminum tuak. Pertandingan meminum tuak secara persahabatan turut diadakan.



2 comments:

ahmad shahrul said...

as'kum... satu rencana yang menarik. mohon izin utk mengambil sedikit idea bagi membuat tugasan. terima kasih.

ahmad shahrul said...

as'kum... satu rencana yang menarik. mohon izin utk mengambil sedikit idea bagi membuat tugasan. terima kasih.