Adat Perkahwinan Bangsa di Malaysia
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang
hidup dalam suasana yang penuh harmoni. Upacara perkahwinan selalu mendapat
perhatian penuh dari semua golongan di Malaysia. Di sebalik keramaian yang
penuh warna warni, upacara ini melambangkan perpaduan kaum yang mempunyai
latarbelakang budaya dan adat resam yang berbeza.
Manusia akan menghadapi berbagai-bagai kepincangan
sosial jika pergaulan antara lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun
mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan adalah untuk menyusun pergaulan
antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang
memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi dalam pergaulan antara
lelaki dan wanita, maka masalah sosial mungkin akan berlaku. Oleh kerana itu,
perkahwinan disyariatkan.
Anjuran Islam Untuk Berkahwin
Islam adalah satu agama yang menganjurkan
perkahwinan. Malah tiada agama tidak menganjurkan perkahwinan kerana
perkahwinan adalah satu-satunya cara untuk membina keluarga dan
mengembangbiakkan umat manusia.
Islam melihat perkahwinan sebagai satu daripada
fitrah manusia. Setiap manusia perlukan teman hidup yang dapat mententeramkan
jiwa dan berkongsi suka dan duka. Itulah sebabnya Allah menjadikan manusia ini
berpasangan-pasangan (ar-Rum: 21).
Melalui perkahwinan juga, Allah mengurniakan
manusia dengan keturunan yang melaluinya umat manusia berkembangbiak (an-Nahl:
72). Selain ayat-ayat ini, Allah juga berfirman di dalam al-Quran tentang
kehidupan para Rasul yang juga berumahtangga (ar-Ra'd: 38). Demikianlah fitrah
manusia, sama ada manusia biasa mahupun para Rasul, mereka tetap ingin hidup
berteman dalam sebuah perkahwinan.
Hadis-hadis Rasulullah s.a.w juga banyak sekali
anjuran supaya umat Islam berkahwin. Sebagai contoh, hadis yang bermaksud,
"Perkahwinan adalah salah satu sunnahku. Barangsiapa tidak menyukai
sunnahku, maka sesungguhnya ia tidak meyukai aku." Hadis ini menunjukkan
bahawa perkahwinan merupakan satu sunnah dan sebagai umat Muhammad, kita
perlulah mengikuti sunnah Baginda.
Kemudian dikatakan pula bahawa perkahwinan itu
sebahagian dari iman seperti dalam hadis berikut yang bermaksud,
"Seseorang yang menikah telah menenangkan separuh agamanya. Maka hendaklah
ia bertakwa kepada Allah dengan menjaga separuh yang lain." Dalam
menganalisa hadis ini, Imam al-Ghazali berpendapat, "dengan melangsungkan
perkahwinan, seseorang itu akan dapat menjaga dirinya dari kerosakan agama atau
akhlaknya. Dapatlah disimpulkan bahawa yang paling merosakkan akhlak seseorang
itu ialah perut dan kemaluannya. Oleh sebab itu, dengan berkahwin akan
terpeliharalah salah satu penyebab utama kerosakan agamanya. "
Dalam konteks ini, tentulah perkahwinan itu perlu
disegerakan. Walau bagaimanapun, ada satu syarat yang perlu dipenuhi sebelum
seseorang itu boleh berkahwin iaitu kemampuan. Ini kerana dalam sepotong hadis
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa memiliki
kemampuan untuk kahwin, hendaklah ia berkahwin. Hal itu lebih membantu menjaga pandangan
serta melindungi kemaluan. Namun, apabila tidak mampu, hendaklah ia berpuasa.
Dengan berpuasa, syahwatnya akan lemah." Hadis ini menunjukkan bahawa bila
ada kemampuan, kahwinlah. Jangan ditangguhkan lagi. Sebaliknya, bagi yang tidak
mampu, ia tidak boleh berkahwin sebaliknya berpuasalah untuk menjaga nafsunya.
No comments:
Post a Comment