Adat perkahwinan Melayu merupakan antara adat resam
yang paling penting dan dipegang teguh oleh kebanyakan orang Melayu, baik di
kawasan luar bandar mahupun di bandar. Adat perkahwinan tradisional masyarakat
Melayu boleh dibahagikan kepada beberapa proses iaitu merisik atau meninjau,
upacara peminangan, upacara menghantar tanda, hantaran belanja, menjemput,
upacara nikah, berinai besar, hari persandingan dan jemput menantu. Ia terdiri
daripada lapan langkah yang boleh digolongkan kepada tiga peringkat:
Peringkat pertama:
i) Merisik atau menengok
Permulaan proses perkahwinan ialah merisik atau
meninjau. Biasanya dilaksanakan oleh keluarga pihak lelaki, khususnya ibubapa.
Setelah teruna dan keluarganya berkenan dengan gadis yang dipilih, usaha
merisik dijalankan untuk mengetahui samada gadis itu sudah berpunya atau tidak.
Hasil daripada merisik ini akan dibuat rundingan dengan keluarga si teruna.
Apabila diketahui si gadis belum berpunya upacara peminangan diaturkan.
ii) Meminang atau bertunang
Meminang si gadis hanya dilakukan bila keluarga
si gadis menyatakan persetujuannya. Tugas meminang biasanya dilakukan oleh wakil
kedua-dua belah pihak, biasanya ketua-ketua adat dan syarak. Semasa meminang
akan ditetapkan tarikh menghantar tanda. Perkara-perkara yang dibincangkan
semasa upacara peminangan ialah hantaran belanja, persalinan dan tempoh
bertunang. Disesetengah-sesetengah tempat berita pertunangan itu diberitahu
kepada seisi kampong oleh Ketua Kampong di masjid ketika mengadakan sembahyang
Jumaat.
iii) Menghantar belanja dan akad
Menghantar tanda
Semasa upacara menghantar tanda, kebiasaannya
sebentuk cincin akan dihantar oleh pihak teruna untuk disarungkan ke jari
tunangannya. Menyampai dan menerima cincin itu dilakukan dalam majlis di rumah
si gadis. Cincin ini disebut sebagai ‘cincin tanda’. Ia biasanya diiringi juga
dengan sebahagian wang hantaran belanja. Tarikh perkahwinan juga dibincangkan
bersama.
Hantaran belanja
Pada tarikh yang dijanjikan upacara menghantar
belanja dijalankan. Kedua-dua belah pihak diketuai oleh Ketua Kampong atau
Ketua Syarak. Wang hantaran itu biasanya diiringi dengan persalinan untuk
si gadis. Ia digubah dalam berbagai bentuk atau dibungkus dalam kain sahaja
mengikut adat daerah masing-masing. Iringan yang lain termasuk bunga rampai, sirih junjung atau tepak sireh sahaja, pahar telor merah dan nasi semangat, alat solek, buah-buah atau lain-lain.
Menjemput
Waris bakal pengantin (ayah atau ibu, atau orang
yang wajib dan diwakilkan) akan berkunjung ke rumah orang tua-tua di kampong
itu untuk membritahu tentang hari perkahwinan itu. Mereka akan membawa tepak
sireh dan terus menjemput dan meminta sanak saudara serta sahabat handai datang
ke rumahnya bagi mengelolakan majlis itu. Majlis kenduri kahwin dimulakan di
rumah pengantin perempuan.
Upacara Nikah
Upacara akad nikah dijalankan sebelum upacara
berinai besar dan bersanding. Imam mewakili wali perempuan menjadi jurunikah.
Dalam upacara ini juga disahkan hantaran dan lain-lain. Mas kahwin disebut
samada hutang atau tunai. Mas kahwin akan diserahkan kepada pangantin perempuan
dan menjadi haknya. Dari saat ini sahlah mereka menjadi suami isteri.
Peringkat kedua:
Berinai
Kedua pengantin memakai pakaian pengantin.
Pengantin lelaki datang ke rumah pengantin perempuan dengan iringan arakan
rebana. Upacara berinai didahului oleh pengantin lelaki yang duduk di pelamin.
Ahli keluarga akan bergilir-gilir menjalankan upacara itu. Pengantin perempuan
akan mengambil tempat selepas pengantin lelaki.
Peringkat ketiga:
i) Bersanding
Dihari persandingan, jamuan diadakan secara
besar-besaran di rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki serta rombongannya
akan diarak dan diiringi dengan selawat dan pukulan rebana dari rumahnya atau
tempat persinggahannya ke rumah pengantin perempuan. Hantaran akan dibawa
bersama sekiranya ia belum dihantar terlebih dahulu.
ii) Sambut-menyambut
Majlis jemput menantu atau ‘menyambut menantu’
diadakan di rumah pengantin lelaki. Pengantin perempuan dijemput datang ke
rumah pengantin lelaki biasanya dibuat pada hari ketiga, kelima atau seminggu
selepas diadakan majlis persandingan.
No comments:
Post a Comment