ARKIB : 17/11/2009
Perkahwinan campur cetus konflik di AS
|
KARISMA Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama begitu menyerlah. Kehebatan pemain golf terbaik dunia, Tiger Woods pula tidak boleh disangkal. Seorang lagi, Derek Jeter merupakan kapten pasukan besbol New York Yankees yang cukup digeruni lawan.
Selain berjaya menempa nama dalam arena masing-masing, Obama, Woods dan Jeter sebenarnya berkongsi satu realiti yang sama - mereka adalah hasil perkahwinan campur.
Perkahwinan campur yang juga satu bentuk eksogami (penyatuan dua bangsa berlainan) boleh dilihat dalam satu perspektif yang lebih luas iaitu percampuran bangsa.
Suatu masa dulu beberapa negara Barat pernah mengharamkan atau menyekat perkahwinan campur termasuklah Jerman semasa zaman pemerintahan Nazi, Afrika Selatan sewaktu dasar aparteid dan begitu juga di kebanyakan negeri di AS.
Pandangan masyarakat AS terhadap perkahwinan campur berbeza-beza mengikut umur dan generasi. Ia terbahagi kepada dua iaitu golongan egalitarianisme (fahaman yang memandang semua orang sama rata walaupun berbeza keturunan, bangsa serta agama) dan golongan konservatif budaya (yang terlalu mementingkan dan mempertahankan budaya, adat dan nilai).
Egalitarianisme lazimnya melibatkan golongan muda, yang melihat perkahwinan campur sebagai satu fenomena yang boleh diterima, sementara golongan konservatif menyifatkan ia sebagai satu larangan dan tidak boleh diterima dari segi sosial.
Bagaimanapun itu hanyalah pandangan individu. Biarpun 40 tahun lalu eksogami dianggap sebagai satu larangan di AS, segalanya berubah pada 12 Jun 1967 apabila Mahkamah Agung AS memansuhkan undang-undang yang melarang perkahwinan antara golongan kulit putih dengan bangsa lain. Keputusan itu turut dilaksanakan di 15 negeri lain.
Berikutan peristiwa penting yang membenarkan penyatuan bangsa berbeza melalui perkahwinan itu, bilangan perkahwinan campur di AS dilapor semakin meningkat. Sejak tahun 1960, jumlah pasangan suami isteri yang berbeza bangsa di AS dilapor bertambah lebih 10 kali ganda, termasuk perkahwinan dengan bangsa Amerika Latin.
Menurut laporan badan kajian Gallop Poll, bilangan perkahwinan campur di AS meningkat daripada 150,000 pasangan pada tahun 1970 kepada 1.1 juta pasangan pada tahun 1994. Bilangan anak hasil perkahwinan itu juga naik mendadak daripada 460,300 orang pada 1970 kepada 1.9 juta pada 1994.
Menggunakan formula pemfaktoran dengan mengambil kira kombinasi semua kaum, pakar sosiologi dari Universiti Stanford, Michael Rosenfeld mendapati, lebih 7 peratus daripada 59 juta rakyat Amerika yang telah berkahwin mengamalkan eksogami pada 2005 berbanding hanya 2 peratus pada 1970.
Biro Bancian AS melaporkan antara tahun 1980 dan 1995, perkahwinan antara pasangan kulit hitam dan putih meningkat kepada 96 peratus, dengan perkahwinan antara wanita kulit hitam dan lelaki kulit putih bertambah kepada 171 peratus. Perkahwinan individu kulit hitam dengan bangsa-bangsa lain juga menunjukkan trend menaik sebanyak 124 peratus dalam tempoh sama. Statistik itu jelas menunjukkan tabu tersebut sudah semakin diterima oleh masyarakat AS dengan hati terbuka.
Bukan hanya orang awam, ramai di kalangan selebriti terkenal turut mengamalkan perkahwinan campur. Antaranya ialah supermodel terkenal Jerman, Heidi Klum dan suaminya, penyanyi Seal Henry Samuel. Heidi berasal dari Jerman sementara Samuel berketurunan Brazil dan Nigeria.
Biarpun masih ramai rakyat AS berpandangan konservatif terhadap isu ini, realitinya mereka tetap mengakui kehebatan Obama, anak hasil perkahwinan campur yang kini mencatat sejarah apabila diangkat sebagai Presiden pertama berketurunan Afrika Amerika. Ibunya merupakan wanita kulit putih dari Kansas, sementara bapanya pula warga kulit hitam dari Kenya.
Pelantikan Presiden ke-44 negara Uncle Sam itu dilihat membawa perspektif berbeza terhadap perbezaan kaum yang begitu dipandang serius AS sebelum ini. Isu perkauman juga merupakan antara perkara utama yang disentuh Obama sebaik dilantik sebagai Presiden AS.
Berbicara mengenai perkahwinan campur, kita tidak boleh mengelak daripada mengaitkannya dengan isu perbezaan kaum. Tidak dinafikan, perkahwinan sedemikian sedikit sebanyak boleh mengurangkan jurang antara kaum.
Begitu pun masih ramai memandang skeptikal perkahwinan campur. Mungkin disebabkan itu, masih ada di kalangan rakyat AS sendiri enggan atau tidak dapat menerima langsung eksogami. Aura dan perjuangan Obama untuk menghakis perbezaan kaum, nampaknya masih tidak mengubah pendirian golongan tersebut.
Baru-baru ini misalnya, satu kontroversi mengenai perkahwinan campur timbul apabila seorang Jaksa Pendamai di Louisiana enggan mengeluarkan lesen perkahwinan kepada sepasang suami isteri berkulit hitam dan putih.
Jaksa Pendamai itu, Keith Bardwell yang bertugas di kawasan Tangipahoa memberi alasan enggan memberi lesen perkahwinan itu kerana bimbang dengan masa depan anak yang bakal dilahirkan oleh pasangan tersebut.
Menurut Bardwell, berdasarkan pengalamannya, perkahwinan campur tidak akan bertahan lama. Mengikut perbincangannya dengan masyarakat kulit hitam dan kulit putih serta pemerhatian ke atas pasangan suami isteri berlainan kaum, kebanyakan individu kulit putih dan kulit hitam tidak bersedia menerima anak hasil hubungan perkahwinan seumpama itu.
Dia dalam pada itu menganggarkan telah melakukan perkara yang sama kepada empat pasangan sepanjang kariernya selama 32 tahun. Bardwell sebaliknya meminta pasangan itu mendapatkan lesen perkahwinan daripada Jaksa Pendamai lain.
Pasangan terlibat, Beth Humphrey, 30, yang berkulit hitam dan Terence McKay, 32, berkulit putih, kedua-duanya dari Hammond berkata, mereka akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Keadilan AS sebagai aduan diskriminasi.
Peguam Kesatuan Pembebasan Sivil Amerika (ACLU), Katie Schwartzmann berkata, pihaknya kecewa kerana perkara tersebut terjadi pada tahun 2009.
Rentetan daripada peristiwa itu, ACLU menulis sepucuk surat kepada Jawatankuasa Badan Kehakiman Louisiana meminta supaya mereka menyiasat Jaksa Pendamai tersebut kerana tindakannya dianggap sebagai 'ketaksuban secara terang-terangan' terhadap perbezaan kaum.
Beberapa hari kemudian, Bardwell menyemarakkan lagi kontroversi itu dengan menyatakan dia tidak akan meminta maaf di atas tindakannya.
Bardwell sebaliknya menyifatkan tindakannya itu sebagai membantu pasangan itu dengan memberitahu mereka dengan siapa mereka patut berjumpa jika ingin meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin.
Itu adalah satu contoh cabaran perkahwinan campur. Biarpun undang-undang AS telah mengiktiraf perkahwinan jenis itu, sama seperti perkahwinan lain, ia tetap ada halangan dan sekatan.
Persoalannya, mengapakah pasangan suami isteri daripada perkahwinan campur masih sukar diterima sebagai pasangan berkahwin yang lain? Apakah disebabkan perbezaan latar belakang, budaya dan warna kulit? Apa yang pasti, cabaran yang mendatang dalam perkahwinan ini dilihat lebih hebat berbanding perkahwinan sesama kaum.
Antara kerumitan yang mungkin dihadapi pasangan kahwin campur adalah perbezaan budaya, sosial, latar belakang keluarga, komunikasi dan pengurusan hidup.
Pada permulaan perkahwinan, kebanyakan pasangan berlainan kaum tidak melihat perbezaan tersebut sebagai masalah, namun disebabkan kesulitan komunikasi seharian ia akhirnya membawa kepada pertelingkahan apabila pasangan masing-masing kurang memahami antara satu sama lain.
Perkahwinan campur
Perbezaan kaum dan budaya meletakkan tekanan dalam hubungan pasangan seumpama ini. Dengan dua budaya berlainan, keluarga terlibat dengan eksogami perlu menyedari perbezaan-perbezaan tertentu agar dapat memahami sesama mereka.
Sesetengah pasangan mengambil keputusan berkahwin dengan pasangan berlainan kaum hanya kerana memberontak, lari daripada kenyataan hidup atau sebab-sebab negatif lain. Kebanyakan ibu bapa mahu anak mereka gembira, namun sebaliknya bagi anak-anak hasil perkahwinan campur.
Satu lagi masalah nyata yang timbul daripada perkahwinan ini adalah, masyarakat AS tidak menerima kewujudan anak-anak daripada perkahwinan campur kerana tidak tahu bagaimana untuk melayan mereka.
Kecuali keluarga eksogami yang tinggal di kawasan bandar di mana perkahwinan campur menjadi satu kebiasaan, anak-anak akan berdepan cabaran tidak seperti anak-anak daripada perkahwinan sesama kaum.
Anak-anak ini memerlukan 'tenaga' dan imaginasi yang lebih bagi menyeimbangkan dan menyanjungi dua budaya berlainan. Pasangan suami isteri pula seharusnya mampu menahan pandangan orang ramai tentang eksogami, perlu cukup kuat berdepan perbezaan budaya dan perlu cukup yakin untuk membesarkan anak-anak.
Dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa perlu mengamalkan kedua-dua budaya dan memberitahu anak-anak siapa diri mereka yang sebenar.
Kebanyakan rakyat AS menganggap diri mereka sebagai idealis dan tidak prejudis. Mereka tidak kisah dengan idea perkahwinan campur, namun apabila melibatkan anak-anak hasil perkahwinan tersebut, isu itu berubah sama sekali.
Kebiasaannya, orang ramai akan mengkategorikan anak-anak hasil eksogami kepada kelas tertentu sama ada kulit hitam atau kulit putih.
Masyarakat tidak akan faham bagaimana rasanya menjadi anak-anak ini, kecuali diri mereka sendiri. Masyarakat juga akan berfikir, anak-anak itu sendiri keliru dengan diri mereka atau ke mana kecenderungan mereka. Rakyat AS beranggapan, mereka perlu mengklasifikasikan anak-anak berkenaan di bawah satu kaum, tidak kira bagaimana anak-anak itu sendiri melihat diri mereka.
Dengan pemikiran yang berterusan begini, negara akan menganggap anak-anak itu sebagai berketurunan kulit hitam. Dengan itu juga, anak-anak hasil eksogami akan membesar dengan fikiran mereka adalah keturunan kulit hitam.
Sepatutnya, anak-anak perlu hidup dalam persekitaran di mana mereka boleh merasai pengalaman budaya kedua-dua ibu bapa bagi mengelakkan mereka mengalami krisis identiti.
Kebanyakan ibu bapa tidak kira kulit putih atau hitam turut membantah sekiranya anak-anak mereka berkahwin campur.
Bagi mereka, individu yang berkahwin campur cuba menafikan atau menyangkal warisan keluarga dan akan kehilangan budaya serta identiti.
Ibu bapa juga melihat proses asimilasi itu sebagai sesuatu perkara yang boleh mengundang tumpuan masyarakat terhadap keluarga mereka.
Golongan Afrika Amerika turut menentang perkahwinan seumpama itu disebabkan kekurangan lelaki kulit hitam yang layak berkahwin.
Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul sekiranya seseorang mengamalkan perkahwinan campur?
Perkara pokok yang perlu ada dalam perkahwinan campur adalah kefahaman di mana hubungan yang dibina merupakan satu pertalian yang unik. Ia mungkin satu dalam sejuta. Sehubungan itu, perlu ada sikap saling membantu dan pasangan harus menyokong antara satu sama lain.
Selain itu, suami isteri juga perlu mengkaji dan meneliti latar belakang serta budaya pasangan masing-masing. Ia boleh membantu pasangan memahami masalah suami atau isteri jika ia melibatkan konflik budaya.
Persepsi bahawa anak-anak hasil perkahwinan campur tidak boleh berjaya dalam hidup kerana berdepan cabaran hebat juga harus diletak ke tepi. Walaupun sekadar menyebut beberapa nama individu terkenal sebagai contoh, jelas terbukti kehadiran anak-anak eksogami kini boleh diterima ramai, lebih-lebih lagi AS kini ditadbir seorang lelaki berketurunan Afrika Amerika.
No comments:
Post a Comment