Beza keturunan halang cinta
Bersama Kak Ani
bminggu@bharian.com.my
17/10/2010
Pasangan kekasih terpaksa pendam impian hidup bersamaBERKASIH tetapi tidak direstui keluarga kerana berbeza keturunan. Ini bukan cerita zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjaya menggamit simpati penonton menerusi filemnya Antara Dua Darjat yang masih diulang tayang stesen televisyen.
Sebaliknya isu yang hendak dibawa dalam Kongsi Rasa kali ini ialah kisah benar yang dialami Insan Dilema (ID), Kuala Lumpur. Dalam e-melnya, ID berusia 23 tahun mengakui sudah bekerja dan mengenali kekasih berumur 28 tahun, hampir dua tahun lalu.
Seperti pasangan lain, kedua-duanya saling sayang menyayangi dan berhasrat mendirikan rumah tangga. Malangnya, percintaan mereka dihalang orang tua kekasih yang memberikan alasan perbezaan keturunan, tidak membolehkan hidup bersama walaupun hakikatnya mereka seagama!
Kekasih ID pula anak yang taat kepada kedua-dua ibu bapa dan bersedia berkorban kasih daripada melukai hati keluarga. Kebetulan ayah ID juga ada sejarah hitam berkaitan hubungannya dengan mereka daripada keturunan kekasihnya itu.
Walaupun ia tidak berkait langsung dengan keluarga kekasih, tetapi ayah ID pernah bersengketa dengan rakannya daripada keturunan yang sama. Gara-gara nila setitik, rosak susu sebelanga - begitulah peribahasa sesuai berikutan tindakan ayah ID berpatah arang, berkerat rotan tidak mahu berbaik dengan mereka daripada keturunan kekasih ID.
Menurut ID, walaupun dia dan kekasih pernah putus, tetapi perasaan cinta yang menebal menyebabkan kasih kembali bertaut dan sentiasa berangan untuk hidup bersama.
Ketika berdepan konflik cinta terhalang itu, bekas kekasih pertama ID atau S yang dikenali hampir lima tahun, tiba-tiba muncul dan kembali menagih kasih ID. S masih setia menunggu ID. Hubungan ID dengan S sebelum ini direstui keluarga namun mereka berpisah kerana S tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dek kerana cinta juga, S berjaya mendapatkan pekerjaan walaupun gaji lebih rendah daripada ID.
Walaupun S buktikan kesungguhan cintanya, ID masih menyayangi kekasihnya sekarang. ID tahu S seorang baik dan keluarganya tertarik dengan S kerana pandai ambil hati keluarga.
Berikutan keadaan ini ID serba salah dan minta pendapat Kak Ani supaya boleh dijadikan panduan.
Bagi Kak Ani, memang dramatik sekali kisah yang dikemukakan ID. Kak Ani ingatkan pada zaman teknologi dan ramai yang berpelajaran, kemelut cinta seperti dalam filem Antara Dua Darjat itu, sudah tidak wujud lagi. Perkahwinan campur berlainan bangsa dan agama pun sudah diterima, inikan pula berlainan keturunan tetapi seagama.
Walaupun ada sikap terbuka mengenai perkahwinan campur berlainan bangsa dan agama, tetapi masih ada sesetengah masyarakat yang terlalu taksub kepada keturunan. Mereka tidak mahu keturunan dan adat berkubur hasil asimilasi dalam perkahwinan. Golongan ini sanggup menghalang pasangan lain keturunan bercinta juga kerana tidak mahu harta jatuh ke tangan orang lain. Aneh bukan?
Mereka ini juga dikatakan lebih sanggup melihat anak derita asalkan keturunan tidak digugat. Berikutan sikap inilah wujud bidalan yang berbunyi ‘Biar mati anak, jangan mati adat.’ Bagi mereka ini, enggang sampai bila-bila pun tidak boleh terbang seiringan pipit.
Bagi Kak Ani, andai terlalu kuat tentangan diterima, Kak Ani minta ID tak usahlah bermain dengan api kerana takut terbakar diri sendiri.
Memang benar, jodoh seseorang sebenarnya sudah direncanakan oleh Tuhan. Ada yang diberi peluang berkawan, tetapi tidak berakhir dengan gerbang perkahwinan.
Bagi Kak Ani, ID tak payahlah bersuluh lagi kerana daripada apa yang diceritakan, Kak Ani nampak jodoh yang paling sesuai sekali dengan ID ialah S.
Seorang lelaki yang tabah, bersedia berubah dan memiliki pekerja tetap walaupun bergaji rendah, sudah menepati ciri-ciri lelaki yang boleh memimpin keluarga.
Mungkin dari segi rupa, S tidak sekacak kekasih ID sekarang, tetapi ID kena ingat, lelaki yang terlalu menyayangi wanita impiannya akan berusaha memastikan istana yang dibina kukuh.
ID tidak boleh memandang rendah kepada S berdasarkan gajinya lebih rendah daripada ID. Restu keluarga juga penting dalam memilih jodoh. Kalau pada peringkat awal hubungan ID sudah berdepan tentangan keluarga kekasih, sukar bagi ID melalui hidup sebagai suami isteri. Dalam keadaan sekarang pun, kekasih tidak dapat memberi kata putus, bagaikan menunggu buah yang tak gugur. Sebagai wanita, kita tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menjadi seorang isteri, kerana peluang untuk melahirkan zuriat juga berkait dengan faktor umur. Lainlah lelaki, yang boleh masuk meminang jika sudah bersedia memasuki alam perkahwinan.
Jangan jadikan halangan percintaan ini sebagai sebab untuk terus membujang. Ingatlah masa depan dan percaya kepada qada dan qadar dan ia akan meleraikan segala masalah ID.
1 comment:
NIce............!!
Post a Comment